Project-Based Learning

KONSEP PEMBELAJARAN BERASASKAN PROJEK (PROJECT-BASED LEARNING)

PROJECT-BASED LEARNING (PBL) adalah satu teknik dalam pengajaran dan pembelajaran yang masih baru diperkenalkan. Ia adalah satu model bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang berlainan daripada apa yang ada sekarang ini. Teknik pembelajaran PBL lebih tertumpu kepada murid, memerlukan masa untuk disiapkan, merentasi kurikulum dan kemahiran. Perkara yang lebih ketara di sini ialah ciri-ciri teknik PBL yang memerlukan murid berinteraksi dengan amalan dunia sebenar mereka. Ini memberikan peluang  kepada murid untuk memahami suatu perkara. Ini merupakan ilmu pengetahuan
yang sebenar. Melalui PBL, murid menjelajah pengetahuan-pengetahuan baru, membuat pertimbangan, interpretasi serta membuat sintesis kepada semua maklumat yang telah diperoleh secara bermakna.

Persoalan sekarang ialah mengapa PBL diperlukan? Mengikut artikel Futureworks:
Trends and Challenges for Works in the 21st. Century,
“We are living in a new economy – powered by technology, fueled by information, and driven by knowledge”

Ini bermakna, penggunaan PBL akan membantu murid untuk membina kemahiran dan ketrampilan dalam menghadapi masyarakat masa depan yang lebih berasaskan kepada maklumat dan teknologi. Bagi  menyelesaikan permasalahan yang kompleks misalnya, murid memerlukan kemahiran-kemahiran asas dan kemahiran zaman digital. Melalui kemahiran-kemahiran ini, murid mampu mengurus pembelajaran
kendiri secara lebih berkualiti dan berkesan. Langkah untuk memperkenalkan penggunaan pendekatan PBL di sekolah-sekolah adalah satu langkah yang positif dan kena pada masanya. Negara maju menggunakan pendekatan ini dalam bilik darjah. Ini kerana penggunaan PBL ini mampu melahirkan murid yang boleh menghadapi dunia abad ke-21. Menurut Secretary’s Commission on Achieving Necessary Skills (SCANS), terdapat enam kemahiran yang diperlukan oleh murid untuk menghadapi abad ke-21 ini, iaitu:-

i. Tanggungjawab personal dan sosial.
ii. Kemahiran perancangan, berfikiran kritikal, penaakulan dan kreativiti.
iii. Kemahiran komunikasi yang mantap, sama ada kemahiran interpersonal atau kemahiran dalam pembentangan.
iv. Kefahaman antara budaya.
v. Kemahiran pemahaman visual dan membuat keputusan.
vi. Mengetahui bila dan bagaimana menggunakan teknologi;
vii. Tahu mengenal pasti teknologi yang sesuai untuk suatu tugasan.